Perayaan pada hari pertama Gawai Dayak Hari_Gawai

Bila tibanya pagi 31hb Mei, orang ramai akan turun mencari bahan makanan dari hutan atau kebun terutamanya umbut yang sedap dimasak sup dengan daging haiwan. Ikan, haiwan liar dan sayuran hutan juga dicari untuk lauk-pauk sebelum gawai.

Selepas itu, orang ramai akan menyembelih haiwan ternakan sebagai lauk utama gawai. Sekarang ini, daging dan sayuran boleh dibeli di pasar-pasar terutamanya bagi mereka yang bekerja dan tinggal di bandar-bandar.

Nasi pulut "pansoh" (lemang) akan dimasak dalam ruas buluh supaya ada aroma istimewa daripada buluh tersebut yang tidak diperolehi jika dimasak dalam periuk. Nasi pulut inin adalah dianggap hidangan istimewa kerana kelekitannya melambangkan perpaduan di kalangan komuniti itu yang menjamahnya. Nasi pulut juga digunakan untuk membuat nasi manis dan tuak, sebagai salah satu sajian kepada para dewa dan membaling tiang chandi sewaktu gawai burung atau kenyalang. Selain itu masakan seperti ayam pansuh turut disediakan.

Sementara itu, tikar-tikar anyaman tradisi dengan rekaan bunga-bungaan yang cantik dan berwarna terang akan dibentangkan di sepanjang ruai rumah. Jenis-jenis tikar tradisi termasuklah tikar bemban, tikar rotan dan tikar kulit kayu. Kain-kain tenunan atau ikatan tradisi yang dipanggil "pua kumbu" pula digantung di dinding-dinding sebagai perhiasan. Barangan kraft tangan yang lain seperti bakul dan topi besar boleh juga digantung di dinding-dinding bilik.

Pelantar istimewa dan tilam kapas empuk akan dibuat terutamanya di ruai Ketua Rumah atau Gawai sebagai tempat singgah-sana para tetamu khas yang dijemput hadir semasa upacara duduk berbaris mengikut kedudukan sosial masing-masing nanti.

Selepas semua persediaan ini siap, orang ramai mulalah mandi, berpakaian kemas dan bersedia untuk acara malam menyambut gawai pada 31hb Mei.